SMARTER AI dinobatkan Johan iDEA’26 Peringkat Kebangsaan

TEMERLOH, 17 Ogos 2026 – Projek SMARTER AI dari SK Putrajaya Presint 11(1) telah menyertai Pertandingan Innovation Development Through Educational Activities Tahun 2026 (iDEA’26) yang berlangsung pada 16 hingga 17 Ogos 2026 di Dewan Tun Razak, Temerloh, Pahang.

Pertandingan ini menghimpunkan projek inovasi daripada pelbagai institusi dan sekolah di seluruh negara. Sebanyak 532 projek telah menyertai pertandingan ini, dengan 36 projek berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir di Temerloh.

Dalam pertandingan tersebut, SMARTER AI berjaya meraih Johan bagi Kategori Teknologi Maklumat & Telekomunikasi, selain menerima Gold Award.

SMARTER AI merupakan projek pembelajaran Bahasa Inggeris berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) yang dibangunkan untuk membantu murid meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan pembelajaran kendiri melalui pendekatan yang lebih interaktif.

Sepanjang pertandingan, murid berpeluang membentangkan projek, mendemonstrasikan penggunaan aplikasi serta berkongsi idea dengan panel juri dan peserta lain. Pengalaman ini turut memberi pendedahan kepada murid dalam aspek komunikasi, pembentangan dan pembangunan inovasi.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Tahniah kepada murid dan guru pembimbing yang terlibat dalam penyertaan SMARTER AI pada iDEA’26.