Kuala Lumpur | 16 Jun 2026
Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) sekali lagi melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Highly Commended Award dalam AIA Healthiest Schools 2026 menerusi projek inovasi kesihatan dan kesejahteraan murid yang dikenali sebagai BOLEH 360. Kejayaan tersebut turut menyaksikan sekolah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD3,500, sebagai pengiktirafan terhadap impak dan keberkesanan projek dalam memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan murid.
Majlis Anugerah AIA Healthiest Schools 2026 telah berlangsung di Pavilion Ballroom, Pavilion Hotel Kuala Lumpur pada 16 Jun 2026, menghimpunkan sekolah-sekolah terbaik dari seluruh negara yang berjaya menghasilkan inisiatif berimpak tinggi dalam membudayakan gaya hidup sihat di sekolah.

Projek BOLEH 360 merupakan sebuah ekosistem digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bagi memperkasakan kesejahteraan murid secara menyeluruh. Projek ini memberi tumpuan kepada pembangunan keyakinan diri sebagai asas kepada pembentukan gaya hidup sihat melalui empat komponen utama iaitu kesejahteraan emosi, pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan kelestarian alam sekitar.
Melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, gamifikasi serta penggunaan AI sebagai pembimbing digital, BOLEH 360 membantu murid membina keyakinan diri, mengurus emosi dengan lebih baik, mengamalkan pemakanan sihat, meningkatkan aktiviti fizikal serta membentuk tabiat positif yang berkekalan. Inovasi ini membuktikan bahawa teknologi mampu menjadi medium berkesan dalam menyokong pembangunan kesihatan dan kesejahteraan murid secara holistik.

Pengiktirafan ini merupakan satu lagi pencapaian bermakna buat sekolah selepas kejayaan muncul sebagai Juara Peringkat Asia Pasifik AIA Healthiest Schools 2024. Kejayaan berterusan ini membuktikan komitmen SK Putrajaya Presint 11(1) dalam menerajui inovasi pendidikan yang memberi impak tinggi terhadap pembangunan kesihatan, kesejahteraan dan pembangunan sahsiah murid.
Pencapaian ini juga merupakan hasil dedikasi murid, guru pembimbing, pihak pentadbir serta sokongan padu daripada ibu bapa dan komuniti sekolah yang sentiasa bersama-sama menjayakan pembangunan projek sehingga berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AIA Malaysia dan LeapEd Services atas penganjuran program yang memberi peluang kepada sekolah-sekolah mempamerkan amalan terbaik dalam membudayakan kesihatan dan kesejahteraan. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada SK Putrajaya Presint 11(1) untuk terus membangunkan inovasi yang memberi manfaat kepada murid, sekolah dan masyarakat serta mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.