PUTRAJAYA, 17 Ogos 2026 – SK Putrajaya Presint 11(1) telah menerima kunjungan delegasi Daejeon Metropolitan Office of Education, Republik Korea dalam satu lawatan penandaarasan yang bertujuan memperkukuh perkongsian pendidikan serta memberi pendedahan berkaitan pelaksanaan pendidikan rendah di Malaysia.
Lawatan tersebut melibatkan seramai 25 orang guru dan pegawai pendidikan dari Daejeon Metropolitan Office of Education. Delegasi diketuai oleh En. Hyesun Yun, Pegawai Penyelia Pendidikan, Daejeon Metropolitan Office of Education.

Ketibaan delegasi pada pukul 8.30 pagi telah disambut mesra oleh barisan pentadbir dan warga SK Putrajaya Presint 11(1). Para tetamu turut disajikan dengan persembahan murid Citra Warna sebelum sesi bergambar kenangan di lobi sekolah.
Seterusnya, delegasi dibawa ke Bilik Mesyuarat bagi mengikuti sesi perkongsian bersama pihak pengurusan sekolah. Sesi ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman, pendekatan serta amalan dalam pengurusan sekolah dan pelaksanaan pendidikan rendah.
Lawatan ini turut memberi peluang kepada delegasi untuk melihat dengan lebih dekat suasana pembelajaran, budaya sekolah serta pelaksanaan aktiviti pendidikan di SK Putrajaya Presint 11(1). Interaksi antara delegasi dan warga sekolah juga membuka ruang kepada perkongsian idea dan pengalaman pendidikan antara Malaysia dan Republik Korea.
Pelaksanaan lawatan ini selaras dengan usaha memperkukuh hubungan dan jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan, di samping menggalakkan perkongsian amalan terbaik antara institusi pendidikan dari kedua-dua negara.
SK Putrajaya Presint 11(1) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Daejeon Metropolitan Office of Education atas kunjungan dan perkongsian yang bermakna. Semoga hubungan yang terjalin dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama pendidikan pada masa akan datang.