PUTRAJAYA, 16 Mei 2026 – SK Putrajaya Presint 11(1) sekali lagi melakar sejarah apabila menerima Anugerah Khas Sekolah Terbaik Dunia 2025 dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.
Kejayaan bertaraf antarabangsa ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap komitmen dan kecemerlangan warga sekolah dalam membudayakan pendidikan berkualiti, inovasi serta kesejahteraan murid sejajar dengan aspirasi pendidikan negara.
Lebih membanggakan, pengiktirafan tersebut turut disertai dengan sumbangan insentif bernilai RM25,000.00 daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) sebagai penghargaan atas pencapaian luar biasa sekolah di persada dunia.
Replika cek dan pengiktirafan berprestij tersebut telah diterima oleh Guru Besar SK Putrajaya Presint 11(1), Puan Norzah binti Mohd Kassim, dalam majlis yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Turut berada di pentas utama mengiringi penyampaian anugerah ialah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia; YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia dan YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak.
Selaras dengan tema Hari Guru tahun ini, “Guru Bitara Nadi Negara”, kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) membuktikan bahawa usaha gigih, budaya inovasi dan semangat kerjasama seluruh warga sekolah mampu mengangkat nama Malaysia ke peringkat dunia.
Pencapaian ini diharap menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidikan untuk terus mencipta kecemerlangan demi masa depan anak bangsa dan negara.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga SK Putrajaya Presint 11(1) atas kejayaan yang amat membanggakan ini. Semoga terus unggul dan menjadi contoh dalam dunia pendidikan.
Guru Bitara Nadi Negara
Tahun Ini Tahun Kita
#terimakasihcikgu
#SKPP111
#WorldsBestSchool
#GuruBitaraNadiNegara
#PendidikanBermutu
#GenerasiMADANI