Program Road Show PerKISS 2026 Semarakkan Budaya Kitar Semula di SK Putrajaya Presint 11(1)

PUTRAJAYA, 6 Ogos 2026 – SK Putrajaya Presint 11(1) telah menerima kunjungan Program Road Show Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) 2026 yang berlangsung di Dataran Bitara, SK Putrajaya Presint 11(1) pada Khamis, 6 Ogos 2026, bermula pukul 10.10 pagi hingga 1.30 petang.

Program anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan ini merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) 2026 serta meningkatkan pengetahuan dan kesedaran murid tentang pengasingan sisa di punca, amalan kitar semula dan penjagaan kebersihan. Program ini turut menekankan kerjasama antara SWCorp Malaysia, institusi pendidikan dan rakan kolaborasi dalam memupuk amalan gaya hidup lestari.

Sepanjang program, murid mengikuti beberapa sesi taklimat yang disampaikan oleh SWCorp Malaysia, F&N Malaysia dan SIG. Selain itu, murid turut berpeluang menyertai pameran, permainan interaktif serta pelbagai aktiviti pendidikan berkaitan pengurusan sisa dan amalan kitar semula.

Program ini melibatkan semua murid Tahun 4, murid Tahun 5 Aroma, 5 Kasturi, 5 Raudah dan 5 Cendana, semua murid Tahun 6 serta ahli Kelab Kitar Semula. Penglibatan murid dalam aktiviti secara langsung memberi peluang kepada mereka memahami bahawa amalan menjaga alam sekitar boleh dimulakan melalui tindakan mudah seperti mengasingkan sisa, mengurangkan penggunaan bahan sekali guna dan mengitar semula bahan yang masih boleh dimanfaatkan.

Pelaksanaan program ini selari dengan usaha sekolah untuk membudayakan pendidikan kelestarian dalam kalangan warga sekolah. Melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan, murid bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu malah digalakkan untuk mengaplikasikan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian sama ada di sekolah mahupun di rumah.

Diharapkan program seperti ini dapat terus meningkatkan kesedaran warga sekolah terhadap kepentingan pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“Kitar Semula, Sayangi Bumi!”