Kuala Lumpur, 20 Julai 2026 – Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) sekali lagi melakar sejarah yang amat membanggakan apabila dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Emas Pendidikan Digital Terbaik (Sekolah Rendah) dalam Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2026.
Majlis penganugerahan berprestij ini telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang bertempat di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Persiaran Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Kemuncak Pengiktirafan Digital
Anugerah Digital Utilisation Technology Awards (DUTA) 2026 merupakan anugerah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan tertinggi kepada sekolah-sekolah yang mempamerkan kecemerlangan, kreativiti, serta inovasi dalam menyepadukan teknologi digital ke dalam sistem pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC). Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.
Kemenangan ini membolehkan SK Putrajaya Presint 11 (1) membawa pulang sebuah trofi kemenangan beserta hadiah wang tunai bernilai RM1,200.00. Anugerah berprestij tersebut telah disempurnakan penerimaannya oleh Guru Besar SK Putrajaya Presint 11 (1), Puan Norzah binti Mohd Kassim, dengan diiringi oleh Guru Penyelaras ICT, Cik Nur Fatin Wardah binti Ahmad Zamakhshari.
Lonjakan Inovasi Pendidikan
Kejayaan yang diraih ini membuktikan komitmen tinggi seluruh warga sekolah dalam menyahut seruan kementerian bagi menjayakan agenda Reformasi Pendidikan serta Dasar Pendidikan Digital dan melahirkan generasi yang fasih digital. Penggunaan teknologi yang efektif di bilik darjah bukan sahaja meningkatkan kefahaman murid, malah membuka ruang pembelajaran yang lebih luas dan interaktif.
Pihak pengurusan sekolah merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan kepada para guru, murid-murid, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sentiasa memberikan sokongan padu sehingga kejayaan bermakna ini dapat digapai. Semoga anugerah ini menjadi pemangkin semangat buat seluruh warga SK Putrajaya Presint 11 (1) untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang teknologi dan pendidikan digital demi masa depan generasi muda yang gemilang.
“SK PUTRAJAYA PRESINT 11 (1) TERUS CEMERLANG MEMACU INOVASI DIGITAL!”